Perbincangan teknikal mengenai pelaksanaan sistem MyRTKnet

Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah menjemput pihak PEJUTA untuk suatu perbincangan teknikal mengenai pelaksanaan sistem MyRTKnet di mana JUPEM sedang di dalam peringkat akhir proses menaik taraf dan peralihan Sistem MyRTKnet daripada Sistem Trimble Pivot Platform (TPP) kepada Sistem Leica SpiderNET. Proses ini dijangka akan selesai keseluruhannya dalam tahun 2016 di mana ianya akan membolehkan pengguna mendapat perkhidmatan MyRTKnet yang lebih baik dengan tambahan sehingga 96 stesen CORS di seluruh Malaysia serta pilihan sehingga enam (6) perkhidmatan masa-hakiki iaitu Virtual Reference Station (VRS), Master Auxiliary Corrections (MAX), Individually Master Auxiliary Corrections (i-MAC), Flachen-Korrectur Parameter (FKP), Network Base (NB) dan Single Base (SB).

Bagi melengkapkan proses menaik taraf ini, sistem koordinat baru yang berasaskan Kerangka Rujukan ITRF2014, yang dinamakan sebagai “Malaysian Geodetic Reference Frame 2016 (MGRF2016)” akan dibangunkan sebagai asas sistem koordinat dalam Sistem Leica SpiderNET. Walaupun begitu, pengguna MyRTKnet masih lagi boleh beroperasi di dalam persekitaran GDM2000(2006) secara atas talian.

Perbincangan teknikal yang mengambilkira maklumbalas dari PEJUTA sendiri telah mengambil tempat pada 12 Oktober 2016 di Wisma JUPEM, Ibu Pejabat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan II, YBhg. Dato’ Sr Mohd Noor bin Isa.